mutakhir

Kemudahan sekolah keutamaan nombor 1

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

BAGI memastikan pendidikan dan aktiviti luar bilik darjah diberikan keutamaan, Parlimen Tanjong Karang, Selangor, memperuntukkan sebanyak RM 400,000 bagi membina dewan terbuka di tiga sekolah di parlimen ini.

Ahli Parlimennya Tan Sri Noh Omar berkata, peruntukan itu membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Serong, SK Dato' Manan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Burong di sini.

"Kos (membina dewan terbuka) untuk SK Parit Serong adalah sebanayak RM150,000, manakala SK Dato Manan (RM 150,000) dan SMK Sungai Burong (RM 100,000).

"Peruntukan diberikan kerana saya mengutamakan pendidikan di Parlimen ini. Dengan adanya dewan terbuka, guru dan anak-anak (murid dan pelajar) akan lebih selesa untuk hadir ke sekolah," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan cek sumbangan di SK Parit Serong, Selangor tadi.

Beliau berkata, pembinaan dewan terbuka di tiga sekolah itu dijangka siap selewat-lewatnya Disember tahun ini.

"Apabila peruntukan diterima, kita akan terus masukkan ke dalam tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Projek ini akan dilaksanakan terus dan dipantau pihak sekolah dan PIBG," katanya.

Dalam pada itu, selain peruntukan membina dewan terbuka, Noh berkata, sebanyak RM 184,000 diberikan kepada PIBG di seluruh Parlimen Tanjong Karang.

"RM 10,000 diberikan kepada SMK, manakala RM 5,000 untuk SK dan RM 3,000 untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil dan Cina," katanya.

Disiarkan pada: August 22, 2020 @ 6:41pm
d