mutakhir

Ismail Sabri ketuai senarai penerima darjah kebesaran Melaka

Oleh Amir Mamat

Ayer Keroh: Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengetuai senarai 20 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran Melaka sempena sambutan hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini.

Ismail Sabri akan menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima darjah kebesaran yang sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Firuz Jafril dan Pengarah Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mohamed Farid Abu Hassan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan dalam kenyataannya, berkata, beberapa tokoh turut disenaraikan untuk menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.

Mereka adalah EXCO Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar; Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim; Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Sazali Muhd Din; Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin; Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Antara penerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya , Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, M Ravi; EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Rahmad Mariman; Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen; Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Ismail Ali; Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Abd Kadir Md Idris dan Pesuruhjaya PAS Melaka merangkap Penasihat Agama kepada Ketua Menteri, Kamarudin Sidek.

Penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk, termasuk Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Laut, Laksamana Muda Abu Bakar Mohd Ajis; Pengarah Kawalan Penyakit

Kementerian Kesihatan, Dr Norhayati Rusli; Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Shadan Othman dan Pengarah Kewangan UMNO merangkap Akauntan Barisan Nasional (BN), Shahrul Azuwar Abdul Aziz.

Istiadat penganugerahan berkenaan akan diadakan di Balai Istiadat Seri Negeri.

Di samping istiadat penganugerahan darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri, kerajaan negeri turut mengaturkan beberapa program lain seperti majlis bacaan Yasin dan doa kesyukuran, khutbah khas, majlis makan malam negeri, kuliah Dhuha dan Sambutan Maulidur Rasul pada 20 Oktober ini di Auditorium Masjid Al-Azim.

Disiarkan pada: October 10, 2020 @ 11:20am
d