mutakhir

USM terajui penyelidikan infrastruktur air secara lestari

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta kejayaan apabila terpilih sebagai universiti pertama di Malaysia yang menerajui Kursi Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) berkaitan 'Ecohydraulics for Sustainable Water Infrastructures for SDG 6 in the Asia and the Pacific Region'.

Ia menjadi Kursi UNESCO pertama di USM dan berpusat di Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar USM (REDAC) di Kampus Kejuruteraan USM Nibong Tebal bagi tempoh empat tahun.

Pengarah kampus, Prof Dr Nor Azazi Zakaria berkata, USM kini mengorak langkah sebagai hab pendidikan dan penyelidikan antarabangsa berkaitan infrastruktur air secara lestari.

Katanya, tumpuan akan diberikan terhadap keadaan di rantau Asia-Pasifik dalam menangani isu berkaitan serta memenuhi keperluan air bersih yang akan memberi impak kepada lebih 663 juta penduduk.

"SDG6 merujuk kepada 'Sustainable Development Goal #6', digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2015 lalu.

"Ia menekankan isu berkaitan air bersih dan sanitasi, dengan pernyataan misi (mission statement) bagi memastikan ketersediaan serta kelestarian pengurusannya," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Pemilihan bagi Kursi itu dibuat hasil daripada kertas cadangan yang diserahkan, dan mendapat penilaian positif daripada Jawatankuasa Pemilihan.

Nor Azizi berkata, ia membawa banyak manfaat kepada USM dan negara apabila dipilih sebagai hos bagi kursi antarabangsa yang berprestij.

Katanya, ia akan meningkatkan lagi usaha kolaborasi antarabangsa secara agresif berkaitan jaminan atau sekuriti air serta kelestarian infrastruktur air di peringkat nasional mahupun global.

"Malaysia dianggap sebagai sebuah negara yang melaksanakan usaha pengurusan air secara berkesan dengan 92 peratus rakyat Malaysia menerima khidmat sumber air yang selamat dan 82 peratus menerima khidmat sanitasi yang baik, namun kita masih terdedah kepada risiko sekiranya sumber penting ini tidak diurus sebaik mungkin.

"Air adalah keperluan asas manusia dan elemen sangat penting, namun masih ramai terpinggir dan 'tersisih' daripada menikmati bekalan air bersih dan sanitasi.

"Justeru, dengan menerajui kursi ini, diharap ia dapat mengatasi halangan berkenaan demi memastikan penyaluran bekalan air lebih meluas serta tiada pihak akan ketinggalan," katanya yang turut mengetuai Kursi berkenaan.

Disiarkan pada: December 17, 2020 @ 3:47pm
d