mutakhir

Anggota bomba harung banjir 500 meter selamatkan 40 kucing [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Pemilik kucing, Norhidayah Kamarudin, 31, mendapatkan bantuan anggota bomba bagi menyelamatkan 40 kucing peliharaannya selepas kediamannya di Kampung Kenor di sini, dinaiki air separas kira-kira 0.5 meter.

Norhidayah berkata, dia menghubungi bomba jam 10.30 pagi tadi selepas mendapati paras air meningkat mendadak dan pada masa sama, dia bimbang tidak sempat memindahkan kesemua kucing berkenaan.

"Saya membawa bersama kesemua 40 kucing peliharaan ini ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga banjir pulih.

"Sebelum ini, saya hanya memelihara lima kucing dan ketika itu, hanya memindahkan kelima-limanya ke PPS bersama ahli keluarga kerana jumlahnya tidak banyak.

"Bagaimanapun, kali ini, saya terpaksa meminta bantuan bomba untuk memindahkan kesemua kucing ini kerana jumlahnya yang besar," katanya ditemui di rumahnya.

Anak keenam daripada sembilan beradik ini berkata, kesemua kucing di bawah jagaannya adalah kucing jalanan yang diselamatkan kerana terbiar dalam keadaan sakit dan memerlukan rawatan serta penjagaan rapi.

"Selepas banjir 2014, saya menemui banyak kucing jalanan yang kelaparan dan sakit. Saya bawanya pulang ke rumah untuk dirawat.

"Lama kelamaan, timbul keinginan untuk terus menyelamatkan kucing seperti ini. Bagi saya, selagi ia bernyawa, saya akan cuba menyelamatkannya.

"Saya anggap kucing jalanan yang saya bela ini sebagai anak sendiri," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, anggotanya mengharungi air sejauh 500 meter bagi menyelamatkan semua kucing berkenaan.

Disiarkan pada: January 7, 2021 @ 5:20pm
d