mutakhir

SOP Tahun Baru Cina hasil persetujuan dengan 21 pertubuhan agama berkaitan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Prosedur operasi standard (SOP) Tahun Baru Cina dibuat selepas Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengadakan sesi libat urus 21 badan pertubuhan agama berkaitan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sesi itu membabitkan 21 pertubuhan agama, Persatuan Kebudayaan Cina, Buddha, Tao, Kristian, Persatuan Perniagaan Cina termasuk Sabah dan Sarawak serta pihak berkaitan bagi bersama kerajaan menyediakan SOP.

Menurutnya, menghairankan apabila SOP yang dibentangkan untuk Tahun Baru Cina kali ini dikritik hebat masyarakat.

"Setiap SOP perayaan bukan Islam yang diumumkan kepada orang ramai adalah hasil pembentangan yang dibuat KPN dan mendapat persetujuan daripada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Sebelum membentangkan kepada Sidang Khas MKN, KPN terlebih dahulu wajib mengadakan perbincangan dan mendapat persetujuan bersama wakil setiap pertubuhan keagamaan dan persatuan kebudayaan kaum berkaitan," katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau berkata, KPN akan mengangkat hasil perbincangan untuk dibincangkan semula bersama MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya bagi menilai daripada segi risiko kesihatan.

Tambahnya, selepas keputusan antara KPN, KKM dan MKN dibuat, ia kemudian akan dicadangkan kepada Sidang Khas MKN untuk diluluskan dan diumumkan kepada rakyat.

"Sebagai contoh, sebelum SOP Deepavali, Thaipusam, Krismas, Hari Gawai serta Pesta Kaamatan diumumkan, KPN sudah berbincang dan mendapat persetujuan bersama pemimpin agama yang berkaitan bagi membangunkan SOP yang akan dikeluarkan.

"Bagi menghormati keputusan berkenaan, kerajaan jarang mengubah SOP yang sudah diputuskan KPN bersama pemimpin agama dan pertubuhan berkaitan," katanya.

Beliau berkata, jika terdapat sebarang perubahan yang ingin dilakukan selepas mendengar pandangan ramai, KPN boleh membentangkan semula kepada MKN untuk dipertimbangkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 5, 2021 @ 6:46pm
    d