mutakhir

Negeri Sembilan bakal miliki 2 stadium baharu

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Negeri Sembilan mampu menganjurkan kejohanan sukan yang lebih besar apabila bakal memiliki dua stadium baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani, berkata, projek pembinaan Kompleks Belia dan Sukan Rembau di Chembong, berharga RM27 juta yang turut mempunyai stadium, sedang berjalan lancar.

Katanya, projek di kawasan seluas 8.094 hektar itu akan dilengkapi padang sintetik, balapan, dewan yang boleh memuatkan enam gelanggang badminton, dua gelanggang futsal, dua gelanggang sepak takraw, sebuah gelanggang bola keranjang dan sebuah gelanggang bola jaring.

"Sehingga kini projek pembinaan Kompleks Belia dan Sukan Rembau itu berjalan lancar dan kini sudah mencecah 90 peratus siap.

"Kita juga akan memiliki satu lagi stadium mini baharu di Gemas yang berharga sekitar RM10 juta.

"Projek di Gemas ini terletak berhampiran dengan Pejabat Tanah dan Daerah akan dimulakan dalam tempoh terdekat dan dijangka siap dalam tempoh sekitar dua tahun," katanya ketika ditemui selepas meraikan pasukan NS Anterls yang bertanding di Liga Sepak Takraw 2020 (STL 2020), di dekat sini, semalam.

Turut hadir, Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans), Wan Mohd Husni Wan Abdullah.

Mohamad Taufek yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, berkata, pihaknya turut dimaklumkan cadangan Kementerian Belia dan Sukan untuk memindahkan Pusat Latihan Atlet di Majlis Sukan Negara (MSN) Taman Keramat, Kuala Lumpur ke kompleks baharu yang akan dibina di Nilai.

Disiarkan pada: March 13, 2021 @ 12:16pm
d