mutakhir

Man Siam ditahan ketika sembunyi dalam semak

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Penjaga ayam yang juga suspek kes tikam hingga mati dipercayai akibat terpijak kepala ketika tidur sudah ditahan pihak berkuasa, petang ini.

Suspek dikenali sebagai Man Siam, 20-an ditahan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada 2.45 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata suspek ditahan ketika sedang bersembunyi di dalam semak.

"Suspek berjaya dikesan tidak jauh dari lokasi kejadian dan ditahan ketika sedang bersembunyi dalam semak.

"Kami sedang mengesan senjata digunakan suspek iaitu sebilah golok kecil.

"Permohonan reman akan dibuat untuk menjalankan siasatan terhadap lelaki warganegara Thailand itu," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Terdahulu, seorang lelaki ditikam suspek berhampiran reban ayam di Kampung Che Arus, Bukit Merbau, Kok Lanas, di sini, malam tadi, selepas suspek dipercayai berang kerana mangsa terpijak kepalanya ketika sedang tidur.

Dalam kejadian 11.46 malam tadi, mangsa, Mohd Dailami Ashaari, 38, maut selepas ditikam dengan empat tikaman di dada dengan menggunakan golok kecil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Disiarkan pada: May 20, 2021 @ 4:08pm
d