mutakhir

Guna helikopter kesan nelayan hilang

Oleh Rosli Ilham

Dungun: Pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) menggunakan khidmat sebuah helikopter bagi mengesan seorang nelayan yang dikhuatiri lemas di Kuala Dungun, hari ini.

Helikopter milik Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu digunakan bagi mengesan Mohd Noor Mamat, 67, selepas bot gentian kaca dinaikinya dipukul ombak ketika memasuki muara Kuala Dungun, pada 1.55 tengah hari semalam.

Tekong bot, Mahadi Ibrahim, 56, berkata ketika kejadian dia bersama mangsa dan seorang lagi awak-awak, Mohamad Ibrahim, 63, dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan.

"Kami bertiga keluar menangkap ikan sejak pagi semalam dan ketika pulang dan memasuki muara Kuala Dungun, bot kami dipukul ombak besar yang menyebabkan bot hampir karam.

"Mangsa (Mohd Noor) ketika itu duduk di atas sebuah tong menyimpan ikan dan Mohamad tercampak ke dalam laut," katanya ketika ditemui di jeti Kuala Dungun, hari ini.

Menurutnya, dalam suasana kelam-kabut itu, dia menimba air yang memasuki bot sebelum kembali menghidupkan enjin bot dan bergegas ke lokasi kedua-dua mangsa yang terjatuh.

Katanya, dia sempat menarik tangan Mohamad dan menyelamatkannya manakala manakala mangsa ketika itu terus dipukul ombak dan hilang dari pandangan.

"Selepas puas mencari mangsa, saya meminta bantuan rakan nelayan lain supaya melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Mohamad berkata, selepas terjatuh ke dalam laut, dia bersama mangsa berenang untuk menyelamatkan diri.

"Keadaan ombak dan arus kuat menyebabkan mangsa semakin jauh dan saya menjerit meminta mangsa supaya tidak putus mengucap.

"Selama hampir 15 minit di dalam air, kedua-dua kaki saya mulai kejang dan kalau saya lambat diselamatkan tekong mungkin saya akan mengalami nasib sama dengan mangsa," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, operasi memasuki hari kedua membabitkan 50 anggota polis, bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Beliau berkata, gerakan mencari dan menyelamat mangsa diperluaskan ke perairan Marang dan Paka.

Disiarkan pada: September 22, 2021 @ 1:40pm
d