mutakhir

Pelaksanaan had umur pemimpin belia terburu-buru - Belia 4B

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Perlu pembentangan data terperinci berkaitan umur pemimpin di dalam persatuan belia.

Itu gesaan Gerakan Belia 4B (Belia 4B) Malaysia kepada Kementerian Belia dan Sukan berhubung pelaksanaan umur 30 tahun ke bawah bagi pemegang jawatan pertubuhan belia yang akan berkuat kuasa bermula 1 Januari 2022.

Pemangku Presidennya, Fahami Ashrof Badarudin berkata, pihaknya dan pertubuhan belia lain sentiasa menyambut perubahan.

Katanya, malah, Belia 4B juga secara prinsipnya bersetuju dengan penurunan had umur pemimpin belia namun ia perlu dilakukan secara teratur dan bukannya terburu-buru seperti yang berlaku hari ini.

"Penurunan ini perlu dilaksanakan dengan teratur dan dengan mengambil kira faktor-faktor semasa.

"Realitinya keterlibatan belia di dalam aktiviti sosial dan masyarakat kebanyakannya bermula selepas mereka bergraduasi dan mempunyai pendapatan yang stabil. Sudah tentu perkara ini memerlukan ruang waktu yang bersesuaian," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam sidang Parlimen Rabu lalu Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan pelaksanaan umur 30 tahun ke bawah bagi pemegang jawatan pertubuhan belia akan berkuat kuasa bermula 1 Januari depan.

Mengulas isu sama, Fahami Ashrof berkata, kaedah yang lebih baik dan berhemah adalah dengan melakukan penurunan had umur ini secara berperingkat.

"Kegagalan Menteri dan pemimpin untuk berkerjasama dengan pertubuhan belia di Malaysia ini hanya akan merugikan semua pihak.

"Sekiranya cadangan penurunan had umur pemimpin belia ini masih diteruskan dalam keadaan yang terburu-buru sebegini, sudah pasti segala rancangan akan mengalami kegagalan kerana ketiadaan pelapis sejak kebelakangan ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menghentikan cadangan berkenaan.

Disiarkan pada: November 19, 2021 @ 2:25pm
d