mutakhir

Penurunan umur belia pegang jawatan pertubuhan mampu cungkil bakat kepimpinan

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Inisiatif Kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan umur 30 tahun ke bawah bagi pemegang jawatan pertubuhan belia berkuat kuasa 1 Januari depan dapat mencungkil bakat baharu selain mengenalpasti bakat kepimpinan golongan berkenaan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pendekatan itu sekali gus dapat memberi peluang kepada 589,100 golongan belia di negeri ini menyandang jawatan dalam pertubuhan.

Katanya, kerajaan negeri menyambut baik keputusan berkenaan yang dilihat mampu menjadikan golongan belia lebih matang dan terdedah kepada pentadbiran serta pengurusan melalui aktiviti berpersatuan.

"Ia sejajar dengan perkembangan semasa negara serta teknologi yang sudah berada dalam revolusi 4.0 dan menuju ke arah masyarakat 5.0 atau dikenali sebagai 'smart society' yang berupaya menguasai teknologi yang ada pada hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan Sidang 1, Penggal Ke-33, Sesi 2021-2022 secara maya di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO NegeriKelantan, Wan Roslan Wan Hamat serta 100 ahli termasuk pengerusi pertubuhan negeri selain agensi kerajaan yang berkaitan dengan pembangunan belia dan sukan.

Bagaimanapun, Ahmad berkata, cabaran yang perlu dihadapi adalah untuk memastikan keseimbangan di antara kepesatan teknologi yang ada ketika ini.

Katanya, pada masa sama memastikan modal insan belia tidak hilang jati diri agama, dan mempunyai akhlak kukuh serta berakhlak.

"Tanpa keseimbangan ini kita akan berhadapan dengan masalah keruntuhan sosial yang merosakkan institusi keluarga, masyarakat, dan negara," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Majlis Perundingan Belia Negara yang diadakan itu sudah dirancang khusus untuk pihaknya mendapatkan pandangan, cadangan atau isu daripada belia di peringkat akar umbi untuk dijadikan sebagai input yang akan dipanjangkan ke peringkat kerajaan negeri dan persekutuan.

"Dalam aspek pembangunan belia, misi utama kerajaan negeri adalah melahirkan belia unggul dari segi rohani, berilmu serta bersahsiah tinggi sejajar dengan dasar Membangun Bersama Islam yang sudah dibangunkan oleh kerajaan negeri," katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2021 @ 12:45pm
d