mutakhir

Gunakan Bahasa Melayu sepenuhnya dalam urusan pentadbiran

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi yang mesti digunakan dalam pentadbiran di semua peringkat membabitkan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Bagi sektor swasta, walaupun tidak termasuk dalam ketetapan itu, mereka perlu menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan dengan jabatan kerajaan.

Itu pandangan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

Beliau berkata, Perkara 152 (6) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara.

Justeru, katanya, semua pihak harus menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan termasuk penganjuran majlis dan mesyuarat.

"Agensi kerajaan sebagai penggerak dasar kerajaan mesti menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi termasuk dalam dokumen, perjanjian dan pengiklanan.

"Gesaan Perdana Menteri kepada sektor swasta patut menyedarkan penjawat awam bahawa masih terdapat jabatan menggunakan bahasa Inggeris dalam mesyuarat dan penjenamaan program masing-masing. Mereka harus menjadi teladan kepada sektor swasta," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas teguran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap agensi kerajaan, GLC dan swasta di negara ini yang mengutamakan bahasa Inggeris dalam majlis, mesyuarat, persidangan, projek serta produk mereka.

Perdana Menteri meminta supaya bahasa Melayu digunakan dalam program yang dianjurkan dengan meluas selepas ini.

Awang berkata, langkah berkenaan memberikan isyarat jelas bahawa Perdana Menteri dan semua menteri perlu lebih tegas dalam pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan.

"Ini termasuk pemantauan dan penguatkuasaan. Sekarang ini penguatkuasaan dilihat sangat lemah, sebagai contoh iklan di papan tanda yang masih banyak tidak menggunakan bahasa Melayu," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor Dr Fathir Badri berkata, pelancong luar yang datang ke Malaysia lebih berminat mengetahui keistimewaan bahasa Melayu.

Sehubungan itu, beliau berkata, tidak perlu menggunakan bahasa Inggeris dalam majlis dihadiri golongan berkenaan sebaliknya hanya menyediakan penterjemah.

"Sudah tiba masanya kita kembali kepada asal yang memartabatkan bahasa ibunda selaras hasrat kerajaan memperkenalkan Keluarga Malaysia.

"Walaupun berbilang bangsa, tapi sebagai rakyat Malaysia harus tahu bertutur bahasa Melayu dan memahaminya," katanya.

Bagi Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, selain mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam program atau majlis, surat atau notis juga perlu dikeluarkan dalam satu bahasa sahaja.

Katanya, kosa kata atau perkataan yang dipinjam daripada bahasa Inggeris perlu dikurangkan dan ditukar kepada perkataan berasal daripada bahasa Melayu.

"Hal ini bagi memastikan nilai bahasa Melayu itu sendiri terus terpelihara," katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2021 @ 4:39pm
d