mutakhir

Sedia bantu selesaikan 50,000 kes tertangguh di hospital kerajaan

Oleh Ahmad Suhael Adnan

Kuala Lumpur Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) menyatakan komitmen membantu kerajaan menyelesaikan 50,000 kes tertangguh bagi pembedahan dan prosedur perubatan bukan Covid-19 di hospital kerajaan.

Presiden APHM, Datuk Dr Kuljit Singh berkata, hospital swasta sedia untuk meneruskan usaha itu, yang sudah bermula tahun lalu, khususnya ketika kapasiti hospital kerajaan mencapai kemuncak ketika penularan varian Delta.

Sehubungan itu, beliau berharap perbincangan antara pihak hospital swasta dengan kerajaan dilaksanakan segera, bagi memutuskan kaedah membantu menguruskan 50,000 kes tertangguh itu.

"Kami gembira untuk meneruskan usaha ini bagi membantu 50,000 pesakit di hospital kerajaan yang sedang menunggu mendapatkan rawatan.

"Perbincangan secara terperinci berhubung kaedah pelaksanaannya perlu dilakukan segera.

"Baki pesakit tidak dapat dirawat segera di fasiliti awam perlu dipindahkan ke hospital swasta pada kadar bayaran balik berpatutan, seperti dilaksanakan tahun lalu.

"Ini akan membantu menyelesaikan kes tertangguh ini pada kadar pantas kerana adalah tidak realistik untuk hospital kerajaan melaksanakannya secara sendirian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Kuljit memaklumkan proses pemindahan pesakit bukan Covid-19 dari hospital kerajaan ke hospital swasta tahun lalu berjalan lancar di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Beliau memberi jaminan hospital swasta memiliki konsultan, pakar dan jururawat berkelayakan untuk menguruskan pembedahan dan prosedur perubatan tertangguh itu.

"Lebih 95 peratus pakar di hospital swasta dilatih secara formal dan pernah bekerja di hospital kerajaan sebelum ini.

"Di beberapa kawasan di negara ini, terdapat lebih banyak hospital swasta berbanding hospital kerajaan.

"Walaupun jumlah katil di hospital swasta mungkin lebih kecil, fasiliti untuk penyiasatan dan rawatan boleh diwujudkan berdasarkan kapasiti dan kemampuan setiap hospital swasta," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Kuljit menyatakan sokongan hospital swasta terhadap cadangan kerajaan untuk mereformasi sistem penjagaan kesihatan dan sistem kewangan penjagaan kesihatan negara.

Beliau berkata, APHM sedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan terbabit dalam Suruhanjaya Reformasi Kesihatan selepas ia diluluskan di Parlimen.

Disiarkan pada: January 17, 2022 @ 1:57pm
d