mutakhir

10 kenderaan rosak dilanda hujan lebat, angin kuat di Seksyen 13 [METROTV]

Oleh BERNAMA

Shah Alam: Sepuluh kenderaan dilaporkan rosak susulan hujan lebat dan angin kuat yang melanda kawasan Seksyen 13 dekat sini, petang hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan laporan sebatang pokok tumbang dan menghempap dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 5 petang.

Bagaimanapun, menurutnya mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan bomba di lokasi kejadian.

"Kami menggerakkan enam anggota ke lokasi untuk memastikan keselamatan dan memotong pokok yang tumbang di tempat kejadian. Operasi masih diteruskan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata, pihaknya turut menerima satu lagi laporan, lapan kenderaan didapati rosak ekoran bumbung tempat letak kenderaan sebuah pasar raya di kawasan itu diterbangkan angin kencang.

"Namun tiada mangsa yang cedera dalam kejadian yang berlaku sekitar 5 petang tadi," katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2022 @ 7:08pm
d