mutakhir

ICQS Biawak dibuka esok

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan(ICQS) di Biawak akan dibuka mulai esok.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan di sini, hari ini berkata, pembukaan itu hanya bagi kenderaan persendirian yang datang dari Indonesia untuk masuk ke Sarawak.

"Kenderaan itu mesti memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Bagi pengembara yang masuk pula, mereka mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada," kata kenyataan itu.

Semalam, Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi JPBN Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengadakan lawatan Kompleks ICQS Tebedu di Serian.

Lawatan itu adalah bagi meninjau persiapan pihak berkuasa Malaysia untuk menguruskan kehadiran warga asing khususnya dari Indonesia yang dijangka masuk beramai-ramai apabila pintu sempadan negara terbabit dibuka sepenuhnya.

Ketika ini, hanya pintu sempadan di sebelah Malaysia dibuka sejak 1 April lalu.

Disiarkan pada: April 14, 2022 @ 4:59pm
d