mutakhir

Pemotong rumput maut dirempuh MPV [METROTV]

Oleh Izad Thaqif Hassan

Sungai Petani: Seorang pekerja pemotong rumput maut manakala rakannya parah dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika berehat di bahu jalan di Jalan Pintasan Semeling berhampiran Taman Malinja, Bedong dekat sini, hari ini.

Kejadian jam 11 pagi itu menyebabkan seorang daripada mangsa meninggal dunia di lokasi manakala rakannya pula patah bahu tangan kanan dan masih menerima rawatan di hospital.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah Superintendan Mohd Mahiri Hussain berkata, siasatan mendapati ketika kejadian dua lelaki warga Myanmar sedang berehat selepas melakukan kerja mesin rumput di kawasan berhampiran.

Menurutnya, bagaimanapun sebuah MPV yang datang dari arah lampu isyarat Semeling hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan merempuh dua pokok.

"Kita percaya MPV terbabit dipandu laju dan selepas merempuh pokok ia kemudian turut merempuh dua mangsa terbabit sehingga menyebabkan seorang daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

"Ketika kejadian, mangsa yang meninggal dunia duduk di atas rumput manakala rakannya pula berada atas motosikal yang diletakkan di bahu jalan," katanya pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Difahamkan, MPV berkenaan dipandu seorang remaja lelaki berusia belasan tahun bagaimanapun setakat ini tidak dapat dipastikan mengenainya kerana polis masih menjalankan siasatan lanjut.

Disiarkan pada: May 7, 2022 @ 4:39pm
d