mutakhir

Tabung Pendidikan Negeri Sabah dilancarkan

Oleh BERNAMA

Kota Kinabalu: Sabah semalam melancarkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) iaitu antara inisiatif bagi membangunkan agenda pendidikan di Negeri di Bawah Bayu itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, inisiatif yang bertema 'Peluang Tajaan Untuk Semua' itu bermula tahun ini dan memberi sinar baharu kepada rakyat Sabah dalam mengejar pendidikan di menara gading.

Beliau berkata penubuhan TPNS, yang antara inisiatif dalam Pelan Strategik Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah (YS) 2015-2023, diwujudkan bagi mengumpul dana untuk membuka lebih banyak peluang tajaan kepada anak negeri ke institusi pengajian tinggi.

"Kerajaan negeri menyambut baik inisiatif Kumpulan YS dalam menambah usaha kerajaan membangunkan agenda pendidikan di negeri ini. Pelancaran TPNS tepat pada masanya sekali gus membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan negeri melalui Kumpulan YS terhadap masa depan generasi muda kita.

"Komitmen ini amat diperlukan lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan fasa pertama Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang antaranya menjadikan modal insan dan kesejahteraan rakyat sebagai antara teras utama," katanya ketika berucap melancarkan TPNS di sini, semalam.

Hajiji berkata keutamaan penajaan adalah untuk penuntut yang mengambil kursus dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik bagi memenuhi tuntutan pasaran pada masa akan datang serta kumpulan rakyat B40.

Beliau berkata sejak 1967 hingga tahun lepas, Kumpulan YS telah membelanjakan sebanyak RM768,981,057.74 yang memberi manfaat kepada 114,934 pelajar membabitkan tajaan di peringkat sekolah menengah dan pengajian tinggi.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YS itu juga berkata pada tahun ini, satu inisiatif baharu akan dilaksana oleh kerajaan negeri iaitu Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (Bistari) dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

Beliau berkata menerusi Bistari, kerajaan negeri akan menawarkan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional kepada setiap anak Sabah yang dilahirkan bermula dari tahun 2022 melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dengan RM100 disumbangkan oleh kerajaan negeri.

Disiarkan pada: June 3, 2022 @ 8:35am
d