mutakhir

TKHM: 8 ekor lembu sudah ditempah

Oleh Rosman Shamsudin

Hulu Bernam: Penternak lembu yang terdiri penduduk kampung bersyukur kerana turut menerima tempias selepas Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, Selangor dipilih bagi penganjuran Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Korban 2022 Harian Metro bersama EZ Qurban pada Aidiladha, Ahad ini.

Penternak, Mohd Hadri Hamdzah, 37, berkata setakat ini pihak penganjur sudah menempah lapan ekor lembu bagi menjayakan program terbabit di Masjid Jama'atul Asma Ul-Husna Kampung Sri Keledang.

Menurutnya, pada Aidiladha tahun ini sebanyak 32 lembu yang diternak secara perkongsian bersama rakan sekampung berjaya dijual untuk dijadikan korban pada hari raya berkenaan.

"Saya bersyukur dengan adanya penganjuran program ini sekali gus dapat memberi rezeki kepada saya yang mula menternak lembu sejak 16 tahun lalu.

"Lembu baka tempatan yang diternak sentiasa dijaga dan dipantau dari masa ke masa supaya mampu memberikan hasil atau pulangan pada masa depan, " katanya ketika ditemui, dekat Kampung Sri Keledang.

Mohd Hadri berkata pada awal pembabitannya dalam bidang penternakan lembu, beliau hanya mempunyai dua ekor lembu sahaja.

Dalam perkembangan sama, katanya, tempahan lembu korban oleh pihak penganjur membuat beliau gembira kerana tidak perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk penghantaran lembu terbabit kerana jarak masjid dan kampung dengan kawasan penternakan kira-kira 6 kilometer (km) sahaja.

Disiarkan pada: July 5, 2022 @ 11:47am
d