mutakhir

Bekas pemain badminton kebangsaan didakwa menipu

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Bekas pemain badminton kebangsaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memperdayakan seorang lelaki berkaitan pertaruhan dalam talian dan pelaburan tidak wujud membabitkan kerugian RM58,029.53 pada 2016.

Tertuduh, Lin Woon Fui, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut pertuduhan, Woon Fui didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 39 tahun bahawa dia boleh melipat gandakan wang dengan cara pertaruhan dalam talian yang mendorong lelaki itu memindahkan wang sejumlah RM28,029 ke akaun milik isteri tertuduh.

Tertuduh juga didakwa memperdayakan lelaki sama dengan pelaburan saham yang diketahui tertuduh tidak wujud yang mendorong lelaki itu memindahkan wang sejumlah RM30,000.53 ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Justeru, Woon Fui didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat serta denda bagi setiap pertuduhan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada Jun dan November 2016 di Setia Alam, Shah Alam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport ke mahkamah serta perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam B Chandrateeban memohon mahkamah mengenakan jaminan rendah ke atas anak guamnya dengan alasan tertuduh adalah penanggung utama keluarga dan memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan.

Muhamad Anas kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM17,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan pada setiap bulan.

Mahkamah juga menetapkan 17 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Woon Fui pernah memenangi pingat gangsa dalam acara berpasukan pada Sukan Asia 2006.

Disiarkan pada: July 8, 2022 @ 12:29pm
d