mutakhir

Mayat dengan kesan tembakan ditemukan di deretan rumah kedai

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Seorang lelaki ditemukan maut dengan beberapa kesan tembakan pada badan di Taman Alam Jaya, Puncak Alam, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 11.40 pagi.

"Siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah deretan rumah kedai satu tingkat Pusat Industri Alam Jaya.

"Semasa kejadian, mangsa berusia 29 tahun ditemukan dalam keadaan tertiarap. Turut ditemukan, sebuah motosikal Yamaha LC 135 dipercayai ditunggang mangsa," katanya menerusi kenyataan, malam ini.

Ramli berkata, pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hadir ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan dan menemui beberapa kelongsong peluru.

"Hasil pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati terdapat beberapa kesan tembakan.

"Sehubungan itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Disiarkan pada: August 12, 2022 @ 9:17pm
d