mutakhir

PRU-15: Khalid Samad sah bertanding Parlimen Titiwangsa

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Parti Amanah mengesahkan penyandang kerusi Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad bertanding di Parlimen Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengarah Pilihan Raya Amanah Datuk Asmuni Awi dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu merupakan pengorbanan luar biasa dan bukan mudah kerana bekas Menteri Wilayah Persekutuan tersebut meninggalkan kawasan yang dikuasainya selama tiga penggal.

Pada PRU14, Khalid menang dengan majoriti 33,849 undi selepas menewaskan dua pesaing iaitu Dr Mohd Zuhdi Marsuki (PAS) dan Azhari Shaari (BN).

Dalam perkembangan lain, Presiden Parti Bangsa Malaysia Datuk Zuraida Kamaruddin, ketika menghadiri Program Jom Kenali Agrikomoditi hari ini, menyatakan kesediaan mempertahan kerusi Parlimen Ampang pada PRU15.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula menafikan kesahihan poster yang memaparkan gambar calon PN Terengganu bagi PRU15 yang tular di laman sosial.

Menteri Besar Terengganu itu berkata penyebaran poster tersebut juga tidak benar kerana pimpinan PN yang dianggotai PAS, Bersatu dan Gerakan belum memuktamadkan senarai calon untuk diketengah pada PRU15.

Dalam pada itu, penyandang kerusi Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berhasrat mempertahan kerusi tersebut meskipun ditawarkan kerusi baharu yang selamat pada PRU15.

Ketua Dewan Ulama PAS itu turut mengakui ada mendengar desas-desus dan dakwaan bahawa beliau akan bertukar kerusi pada pilihan raya nanti.

"Insya-Allah, saya akan pertahankan kerusi di Pasir Puteh ini. Ada suara dari luar tetapi saya dah putuskan duduk di Pasir Puteh, tak boleh pergi ke tempat lain.

"Biarlah, walaupun (ditawarkan) tempat-tempat yang agak selamat tetapi saya tidak minat jenis macam tu, jadi saya pertahankan kerusi Pasir Puteh," katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2022 @ 7:47pm
d