mutakhir

Jambangan bunga untuk SJKC Mun Choong [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong, Batu 5, Jalan Ipoh, di sini, tidak putus-putus dikunjungi insan yang bersimpati dan meletakkan jambangan bunga di hadapan pagar utama sekolah itu.

Mereka berkongsi kesedihan berikutan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor, yang mana antara mangsa membabitkan guru, keluarga serta pekerja kantin.

Tinjauan Harian Metro hari ini mendapati selain meletakkan jambangan bunga bagi menyatakan kepiluan dan simpati, pengunjung juga bertafakur mengingati mangsa tragedi.

Pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Kiat, 40, berkata, dia hadir bersama isteri, Im, 40, bersama dua anak mereka yang bersekolah di situ.

Kiat berkata, dua anaknya, Chalida, 7, dan Thiraknat, 11, sedih dengan kejadian itu yang turut mengorbankan guru mereka.

"Semalam kami mendapat pengesahan bahawa guru Chalida dan Thiraknat antara mangsa korban tragedi tanah runtuh itu.

"Kami hadir ke sekolah ini untuk berkongsi kesedihan atas kehilangan mereka," katanya.

Dia ditemui di perkarangan pintu pagar binaan batu di sekolah terbabit yang menjadi tempat orang ramai meletakkan jambangan bunga.

Media sebelum ini melaporkan lebih 20 guru SJKC Mun Choong dan ahli keluarga mereka disahkan antara puluhan mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm.

Disiarkan pada: December 18, 2022 @ 4:22pm
d