mutakhir

Sudah diberi amaran 3 kali, Ahli Parlimen Besut digantung 3 hari [METROTV]

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Besut Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh digantung daripada memasuki Dewan Rakyat selama tiga hari selepas tidak mengendahkan arahan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Md Nor.

Keputusan itu dibuat oleh Ramli selepas Che Mohamad tidak duduk walaupun sudah diberi amaran sebanyak tiga kali selepas kekecohan berlaku akibat pertikaian pindaan dua rang undang-undang menggunakan perkataan bahasa Inggeris.

"Yang Berhormat (Che Mohamad) duduk. Duduk. Bentara, tiga hari, selesaikan," katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Che Mohamad masih tidak duduk sebaliknya mempertikaikan arahan dibuat Ramli.

"Keputusan dibuat selepas saya duduk. Macam mana ni? Saya dah duduk dah, kenapa keputusan selepas?

"Sepatutnya keputusan semasa saya berdiri," katanya.

Ramli kemudiannya menegaskan beliau sudah membuat keputusan dan memberi amaran sebanyak tiga kali.

"Yang Berhormat, saya sudah buat keputusan dan saya sudah beri amaran tiga kali. Bentara, jalankan tugas," katanya.

Che Mohamad yang mewakili Perikatan Nasional (PN) selepas itu meminta penjelasan berkaitan penggantungan tiga hari yang diberikan padanya.

Ramli berkata, penggantungan itu bermula hari ini sehingga Isnin.

Dewan Rakyat terdahulu kecoh hampir 20 minit selepas Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang membangkitkan perkataan bahasa Inggeris dalam dua rang undang-undang yang akan dibentangkan pada Rabu.

Takiyuddin turut mengambil contoh penggunaan perkataan 'stalking' dalam pindaan rang undang-undang itu.

"Saya ambil contoh DR 5 cadangan pindaan memasukkan peruntukan baru di dalam Kanun Keseksaan iaitu Seksyen 507A stalking. Apa dia stalking ini? Apa stalking ini? Terjemahan pun tiada.

"Mengintai, menghendap, skodeng? Yang mana satu? Bagi saya, kalau tidak pun menjadi peraturan di dalam standing order (peraturan mesyuarat), amalan kita di Parlimen ini mempunyai dwibahasa paling kurang, kalau tidak bahasa Malaysia sahaja," katanya

Disiarkan pada: March 29, 2023 @ 1:23pm
d