mutakhir

Bekas CEO dituduh terima rasuah RM5 juta

Oleh Faris Fuad

Shah Alam: Bekas ketua pegawai eksekutif institut automotif didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM5 juta, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Datuk Mohamad Madani Sahari, 56, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Madani didakwa secara rasuah menerima RM5 juta daripada Kenny Khow Chuan Wah, 48, menerusi akaun Hong Leong Islamic Bank milik Norizan & Associates atas arahan P Kuhan Arunasalam, 37.

Ia sebagai upah membantu Aspire Knowledge Sdn Bhd mendapat surat penganugerahan (LOA) berjumlah RM12 juta, bertujuan menjalankan program pembekal perkhidmatan untuk pekerjaan The Malaysia Automotive Robotics and loT Institute (MARii) dan Re-Training Local Talent (ERT) daripada A2Z Technology Sdn Bhd iaitu syarikat subsidiari MARii.

Kesalahan dilakukan di cawangan Hong Leong Islamic Bank Berhad, Seksyen 15, Shah Alam, 8 Julai 2021 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), serta boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How berkata, pihaknya mencapai persetujuan dengan pembelaan tertuduh untuk menawarkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin.

"Syarat tambahan pasport antarabangsa tertuduh disimpan pihak mahkamah.

"Tertuduh dijangka berhadapan kira-kira 20 lagi pertuduhan di Kuala Lumpur, Kedah dan Shah Alam, mungkin ada permohonan untuk pindahkan kes ini ke Kuala Lumpur," katanya.

Peguam Rahmat Hazlan yang mewakili tertuduh mengesahkan persetujuan itu.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pendakwaan kerana bermurah hati dalam memberi pengurangan kadar jaminan dan setuju menggunakan jaminan sama untuk kes berkaitan pada masa akan datang.

"Isteri anak guam akan menjadi penjamin," katanya.

Hakim kemudian membenarkan jaminan dan syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 8 Jun ini.

Disiarkan pada: April 14, 2023 @ 11:36am
d