mutakhir

Lelaki terbakar, lari ke tengah jalan diselamatkan

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Seorang lelaki terbakar sebelum diselamatkan pemilik stesen minyak, dalam kejadian di sini, 8 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat menerima laporan berkaitan mangsa, 24, terbabit.

"Pemilik premis stesen minyak, 60an, berjaya memadamkan api dan menyelamatkan mangsa dengan menggunakan pemadam api," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya berlari ke arah Jalan Seremban-Johor Bahru dan duduk di tengah jalan tersebut.

Ahmad Zamry berkata, pemandu lori yang melalui jalan tersebut berjaya menghentikan kenderaannya apabila nampak kelibat lelaki terbabit di tengah jalan namun, kereta di belakang gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar di lori itu.

"Mangsa dalam keadaan melecur hampir seluruh badan dihantar ke Hospital Daerah Segamat (HDS) menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, pihak polis masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.

Mangsa menerima rawatan di HDS dan pegawai perubatan mengesahkan 70 peratus tubuh badannya terbakar.

Mangsa masih ditahan di wad HDS bagi rawatan lanjut.

Pihak polis membuka kertas siasatan mengikut seksyen 309 kanun keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga satu tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.

Pihak polis turut menasihat orang ramai untuk mendapatkan kaunseling dengan pakar atau pihak profesional jika menghadapi sebarang tekanan jiwa.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh

menyalurkan ke pusat kawalan daerah Segamat di talian hotline 07-9324222.

Jika anda memerlukan bantuan berkaitan kesihatan mental, tolong hubungi:

Talian Kasih
Tel: 15999 (24 Jam), +60192615999 (WhatsApp)

Befrienders
https://www.befrienders.org.my/
Tel: +60376272929 / +60379568145 (24 Jam)

Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental
https://miasa.org.my/
Tel: +60379321409 / +60192362423

Disiarkan pada: April 19, 2023 @ 12:40pm
d