mutakhir

'Hadi, buktikanlah saya seorang komunis' - Kit Siang

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberikan bukti terhadap dakwaannya kononnya beliau adalah seorang komunis.

Dalam satu kenyataan, Kit Siang berkata, beliau tidak pernah menjadi seorang komunis, dan jika beliau berpegang kepada ideologi itu, tentunya Perikatan Nasional (PN) sudah menahannya ketika mereka menjadi kerajaan sebelum ini.

"Hadi mengulangi tuduhan yang saya ini kononnya komunis, sedangkan dia gagal memberikan sebarang bukti.

"Sekiranya saya seorang komunis, mengapa Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menangkap saya ketika Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan selama 32 bulan dari 2020 hingga 2022?

"Saya tidak pernah menjadi seorang komunis, tetapi Abdul Hadi berkeras bahawa saya seorang komunis. Bilakah dia menyedari perkara ini," katanya.

Kit Siang turut mengingatkan Abdul Hadi bahawa seorang komunis bukanlah jelmaan syaitan, seperti pemimpin PAS patut sedar di mana perjanjian keamanan di antara Arab Saudi dan Iran dibentuk oleh seorang komunis iaitu Xi Jinping, Presiden China.

"Saya sentiasa percaya yang Malaysia boleh memainkan peranan global dan salah satu peranan ini adalah untuk menjadi contoh persefahaman, toleransi dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia. Adakah Hadi bersetuju?" katanya.

Beliau juga menzahirkan rasa kesal atas serangan Abdul Hadi terhadapnya, terutama ketika umat Islam menyambut Aidilfitri.

"Saya tidak tahu mengapa Abdul Hadi memilih Hari Raya Aidilfitri untuk melancarkan serangannya terhadap DAP dan saya.

"Saya sudah bersara dari politik barisan hadapan DAP untuk lebih dari setahun dan saya tidak boleh dan tidak akan memberi respon bagi pihak pimpinan DAP, tetapi saya tidak boleh membiarkan serangan Hadi terhadap saya tidak dijawab," katanya.

Abdul Hadi dalam kenyataannya yang diterbitkan HarakahDaily semalam berkata, selepas komunis tiada tempat untuk bersembunyi dalam hutan rimba, maka bersembunyilah mereka dalam DAP'.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, DAP tidak mengubah pendirian 'Malaysian Malaysia' apabila parti itu secara terbuka mempertahankan sekularisme walaupun Islam agama rasmi negara.

Disiarkan pada: April 22, 2023 @ 3:42pm
d