mutakhir

Tiada sekolah ditutup kerana cuaca panas [METROTV]

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Kementerian Pelajaran (KPM) memaklumkan tiada sekolah ditutup akibat cuaca panas melampau sehingga boleh menjejaskan kesihatan pelajar.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata bagaimanapun sekolah yang berhadapan cuaca panas boleh memaklumkan situasi itu kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi membolehkan penutupan sekolah dibuat.

Katanya, berdasarkan arahan Kementerian Pelajar (KPM), sekolah yang terdedah kepada suhu melebihi 37 darjah celsius selama tiga hari akan ditutup bagi menjaga keselamatan dan kesihatan pelajar.

"Semua sekolah diminta berhati-hati dan sentiasa memantau keadaan cuaca harian, sekiranya lebih 37 darjah celsius selama tiga hari berturut-turut, pihak sekolah boleh maklumkan kepada JPN bagi memohon sekolah ditutup.

"Bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku, KPM juga mengarahkan semua aktiviti luar termasuk kegiatan kokurikulum dan sukan dihentikan buat sementara di seluruh negara," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu Hui Ying bersama pengurusan kanan KPM melakukan lawatan kerja ke sekolah sekitar Daerah Kota Setar bagi meninjau proses pembelajaran dan bertemu warga pendidik sekolah terbabit.

Mengulas lanjut, Hui Ying turut meminta pihak sekolah segera memberi kelonggaran kepada pelajar untuk tidak mewajibkan pemakaian pakaian seragam ketika hadir sesi pembelajaran harian.

"Perkara ini selaras dengan arahan KPM yang membenarkan pelajar memakai pakaian sukan, mereka tidak perlu pakai pakaian seragam selain kita menggalakkan warga sekolah minum air banyak bagi mengelak berlakunya strok haba.

"Setakat ini juga, belum ada kejadian strok haba berlaku dalam kalangan pelajar sekolah. Kes di Kluang, Johor, bukan disebabkan strok haba, ia membabitkan masalah kesihatan lain," katanya.

Dalam kejadian kelmarin, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dilaporkan meninggal dunia disyaki disebabkan strok haba.

Bapa mangsa, Syahrol Azmi Mohd Hekak, 42, dilaporkan berkata, anak keduanya Airiel Syahren disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat 'septic shock secondary to meningoencephalitis' di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom.

Katanya, anak kedua daripada empat beradik itu, mengalami simptom demam tidak berpeluh, kekejangan otot, muntah, terkencing, terberak dan meracau, kira-kira 10 malam Ahad lalu.

Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan kematian kanak-kanak itu disebabkan strok haba, sebaliknya ia adalah disebabkan jangkitan pada otak selepas dia mengalami sawan dan demam panas.

Disiarkan pada: May 3, 2023 @ 2:12pm
d