mutakhir

PN yakin menang 33 kerusi DUN Selangor

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Gombak: Sasaran Perikatan Nasional (PN) Selangor untuk memenangi 33 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini seperti yang dinyatakan oleh Pas negeri mampu dicapai.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu hasil penelitian pihaknya berdasarkan data yang diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebelum ini.

"Kalau kita teliti skor yang telah diwartakan SPR, kita telah memang 14 kerusi dan ada sembilan kerusi yang kita kalah kurang daripada 5,000 undi.

"Kita hanya perlukan dalam 1,000 hingga 2,000 undi sokongan dan dengan situasi semasa, saya yakin kerusi ini boleh ditawan PN.

"Ini menjadikan jumlah dalam tangan 23 kerusi. Maknanya untuk mencapai 30 atau lebih, satu perkara yang boleh diusahakan dan itu antara hasrat kita," katanya kepada pemberita selepas Majlis Silaturrahmi Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, di sini, hari ini.

PN sebelum ini dilapor menyasarkan memenangi 33 daripada 56 kerusi DUN Selangor pada PRN yang diadakan pada tahun ini.

Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, sekiranya sasaran itu dicapai, gabungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mampu membentuk kerajaan baharu di negeri ini.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa berkata, pembahagian kerusi gabungan itu di peringkat Selangor hampir selesai.

Beliau berkata, perkara itu kemudiannya akan dibentangkan dan diputuskan oleh pimpinan pusat.

"Saya boleh katakan kesemua kerusi dibentangkan dan akan diputuskan oleh pimpinan pusat.

"Kerana pendirian yang kita ambil ialah negeri hanya mengemukakan pandangan selepas dimuafakati oleh anggota PN dan kita bentangkan kepada peringkat pusat untuk keputusan muktamad," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah pembahagian kerusi itu dan menyatakan perkara berkenaan akan diumumkan pada masa sesuai.

Sementara itu, mengulas sama ada Tan Sri Noh Omar sudah menyerahkan borang untuk menyertai Bersatu, Mohamed Azmin bagaimanapun menyerahkan kepada bekas Pengerusi Perhubungan Umno Selangor itu.

"Saya percaya Tan Sri Noh mempunyai pengalaman yang begitu panjang dalam perjuangan. Betul, selama ini beliau berada dalam Umno. Tetapi beliau antara tokoh yang berani menegur kepincangan dan kecurangan yang berlaku dalam Umno dan Barisan Nasional.

"Apa langkah seterusnya kita serahkan kepada Tan Sri Noh dan kita bersedia menerima mana-mana individu yang ingin bersama dengan PN," katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2023 @ 2:10pm
d