mutakhir

Halim hilang mungkin diserang harimau

Oleh Paya Linda Yahya

Gua Musang: Lelaki Orang Asli suku kaum Batek dikhuatiri menjadi mangsa serangan harimau ketika memancing di Sungai Aring 5, di sini semalam.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, Halim Asing, 27, dari Kampung Aring 5 sedang memancing bersama anak saudara, Alang Kuang, 8, sebelum dikatakan diserang haiwan liar berkenaan.

Bapa Alang, Kuang Camang, 31, mendakwa anak lelakinya itu satu-satunya saksi yang melihat Halim diserang binatang buas, malah terkejut dengan serangan itu hingga terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan diri.

Katanya, Alang menceritakan kejadian yang berlaku kepadanya sekeluarga yang ketika itu berada 500 meter dari lokasi.

"Curiga dengan cerita Alang menyebabkan kami memantau tempat kejadian, namun Halim tiada di kawasan berkenaan, sebelum kami sekeluarga berjalan pulang ke Kampung Aring 5," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia melaporkan kejadian kepada penghulu dan penduduk kampung yang kemudian dimaklumkan kepada polis.

Menceritakan bagaimana mereka berada di sungai terletak dalam kawasan hutan itu, Kuang berkata, mereka sekeluarga seramai lapan orang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas sebulan berada di Kampung Cangkung, Jerantut, Pahang.

Katanya, dia, isteri dan empat anak bersama Halim serta bapanya berjalan di hutan sejak Sabtu lalu dan tiba di Hulu Sungai Aring 5, semalam sebelum memutuskan untuk mendirikan khemah bagi menangkap ikan dan bermalam di situ.

"Halim kemudian mengajak Alang menemaninya memancing ikan. Namun, selepas hampir sejam, Alang kembali dalam ketakutan dan memaklumkan Halim diserang seekor harimau.

"Tak sangka kejadian berkenaan berlaku, namun kami terpaksa menyelamatkan diri kerana takut menjadi mangsa (berikutnya)," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan orang hilang berkait kes itu pada 10 malam semalam.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai agensi digerakkan bermula hari ini.

Disiarkan pada: May 10, 2023 @ 9:11pm
d