mutakhir

Tak perlu cetus kontroversi pertemuan Anwar dengan keluarga arwah Nik Aziz

Oleh Baharom Bakar

Kuala Nerus: Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan ahli keluarga Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak sepatutnya dijadikan kontroversi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sudah menjadi kebiasaan Menteri Kewangan itu mengunjungi dan menziarahi sahabat lama ketika mengadakan program di seluruh negara.

Katanya, Anwar pernah menziarahi keluarga bekas Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor ketika menghadiri majlis rumah terbuka Malaysia Madani di Kedah, akhir bulan lalu.

"Sebelum ke Terengganu malam tadi, Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menziarahi Pengasas dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pertama, Prof Dr Razali Nawawi yang kini berada dalam keadaan uzur.

"Lawatan dan program ziarah kawan lama oleh Anwar sudah menjadi kebiasaan pemimpin negara," katanya semalam.

Terdahulu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai merasmikan pelepasan Lori Rahmah peringkat negeri di Driving Range di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Seri Dr Ahmad Said, Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.

Salahuddin berkata demikian ketika mengulas tanya tanya gambar pertemuan Anwar dengan bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ketika lawatan ke Kelantan, Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, pertemuan dan program ziarah Anwar dengan keluarga Nik Abd Aziz tidak perlu dijadikan kontroversi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya secara peribadi turut menziarahi bekas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Wan Abdul Mutalib Embong, kelmarin.

"Walaupun antara kami berbeza politik, tetapi kami tidak akan pisahkan silaturrahim," katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2023 @ 11:45am
d