mutakhir

KDN perlu perjelas isu penggunaan kalimah Allah - Dr Zulkifli

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi penjelasan kepada umum mengenai tindakan kementeriannya menarik semula rayuan penggunaan kalimah Allah.

Dr Zulkifli menegaskan bahawa keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada 2008 memutuskan bahawa lafaz Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama lain.

"Paling utama, keputusan untuk rayuan semula kes pada 2021 adalah bagi menjunjung titah Sultan Johor (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) dan Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) yang menitahkan Kerajaan Persekutuan pada ketika itu membuat rayuan semula bagi keputusan Mahkamah Tinggi tersebut," tulisnya menerusi hantaran di Facebook (Fb).

Menurut Dr Zulkifli, rayuan itu diangkat ketika beliau berada dalam kabinet dan dibuat atas dasar kesedaran akan keperluan kalimah Allah, Baitullah, kaabah, dan solat kekal menjadi milik umat Islam di negara ini.

"Selepas segalanya lengkap, saya bentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan proses rayuan oleh Kerajaan Persekutuan terdahulu melalui KDN dimulakan.

"Tidak sedikit jerih payah yang dikerah oleh Mufti serta Jawatankuasa Muzakarah MKI untuk berbincang, pertemuan demi pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penyusunan kertas penghujahan yang membabitkan ramai pakar dan tokoh akademik.

"Setelah segalanya lengkap, saya bentangkannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan proses rayuan oleh Kerajaan Persekutuan terdahulu melalui KDN dimulakan," katanya.

Dr Zulkifli berharap kerajaan Madani melalui KDN ada jawapannya kerana Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku Menteri Dalam Negeri memaklumkan akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat berhubung isu kepentingan umat Islam.

"Saya dengan rendah diri serta mengharapkan pertolongan Tuhan menyatakan dengan tulus berdasarkan kalam Allah," katanya.

Terdahulu, KDN dan kerajaan dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Saifuddin dilaporkan sudah mengemuka nota kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan KDN menarik balik rayuan di mahkamah berhubung keputusan penggunaan kalimah Allah.

Beliau berkata, nota itu hanya makluman kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan yang dibuat oleh KDN berkaitan tindakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Disiarkan pada: May 16, 2023 @ 1:56pm
d