mutakhir

Perlu RM140k nak bagi jalan 'berhantu' terang

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kerajaan negeri memerlukan sekurang-kurangnya RM140,000 untuk memasang lampu di Jalan Gurun-Jeniang dekat Kuala Muda.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria berkata, peruntukan yang dimohon Jabatan Kerja Raya (JKR) itu masih belum diluluskan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, pihaknya maklum mengenai keresahan pengguna jalan itu yang juga jalan persekutuan FT175.

"JKR Kedah sudah beberapa kali memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat bagi pemasangan lampu jalan di kawasan itu, namun belum diluluskan setakat ini.

"JKR negeri (mewakili kerajaan negeri) akan membuat permohonan semula untuk peruntukan itu bagi menjamin keselamatan pengguna.

"Walaupun kawasan itu ialah kawasan pertanian dan tiada perumahan, saya sangat berharap ia mendapat perhatian khusus dan diluluskan peruntukan lampu jalan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, beliau juga maklum bahawa kawasan itu mempunyai risiko kemalangan dan jenayah ragut disebabkan gelap pada waktu malam.

Mohamad Yusoff@Munir berkata, buat masa ini pengguna laluan itu perlu lebih berhati-hati dan tidak memandu atau menunggang motosikal dengan laju terutama pada waktu malam.

"Sebolehnya cuba elak pergerakan pada waktu malam kecuali atas perkara yang tak dapat dielakkan.

"Saya juga nasihatkan agar penunggang motosikal terutama wanita sedaya upaya elak daripada bersendirian melalui jalan itu ketika gelap bagi mengelak diragut," katanya.

Akhbar semalam melaporkan keluhan pengguna Jalan Gurun-Jeniang susulan ketiadaan lampu jalan, malah mendakwa lokasi itu mengundang kemalangan dan jenayah ragut terutama waktu malam.

Disiarkan pada: June 13, 2023 @ 4:30pm
d