mutakhir

'Sekarang nak jual 20 kg pisang goreng pun susah'

Oleh Wan Izzati Amir

Kuala Lumpur: Keadaan ekonomi yang mencabar kini memberi kesan kepada peniaga dan penjaja kecil makanan apabila jumlah pelanggan semakin berkurangan.

Peniaga, Abdul Rahman Talib, 58, berkata, selepas pandemik, jumlah pelanggan dilihat lebih ketara, ditambah pula dengan keadaan ekonomi yang semakin mencabar tahun ini.

"Sebelum ini 50 kilogram (kg) pisang goreng boleh terjual dalam masa sehari, tetapi sekarang 20 kg pisang pun susah nak dijual," katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, hari ini.

Katanya, walaupun berniaga dari pagi hingga petang, namun pendapatan tidak lumayan seperti dulu.

Menurutnya, kekurangan bahan mentah dan kenaikan harga barang juga meresahkan peniaga kecil.

"Dahulu, mudah untuk mendapatkan minyak paket, tetapi sekarang pasar raya mengehadkan pembelian hanya dua paket sahaja.

"Saya terpaksa pergi ke beberapa kedai untuk mendapatkan bekalan minyak yang cukup untuk berniaga," katanya yang sudah berniaga lebih 10 tahun.

Sementara itu, peniaga air tembikai, Mohd Fadzil Ismail, 55, berkata, ekonomi sekarang sangat mencabar dan tempiasnya turut terkena kepada peniaga.

"Saya terpaksa menaikkan harga jualan. Sebelum ini air tembikai dijual pada harga RM2 secawan tetapi terpaksa dinaikkan kepada RM3 kerana harga buah dan bahan lain seperti gula sudah naik," katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2023 @ 5:19pm
d