mutakhir

Keluarga terkejut Mohd Syuib sudah tiada

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: "Kami terkejut apabila mendapat tahu berita sedih kira-kira 6 petang memaklumkan Mohd Syuib Bidin sudah tiada." Demikian kata Kamaruddin Yusof, 51, iaitu salah seorang saudara kepada jurulatih anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Koperal Udara (U) Mohd Syuib Bidin, 33, yang meninggal dunia selepas bom lempar meletup ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin di Gemas, Kem Syed Sirajuddin, Negeri Sembilan, semalam.

Kamaruddin berkata, sebelum itu mereka sekeluarga mengetahui itu selepas dihubungi saudara terdekat, pada 2.15 petang.

"Kejadian itu amat mengejutkan kami sekeluarga dan sebaik menerima berita itu, saya bersama beberapa keluarga terdekat terus bertolak dari Kuantan ke Hospital Segamat.

"Saya tidak menyangka Mohd Syuib Bidin sudah meninggalkan kami semua buat selama-lamanya pada 6 petang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Segamat di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata, arwah yang juga anak bongsu daripada empat beradik adalah anak yang baik dan mesra dengan saudara-mara dan penduduk kampung.

"(Kami) reda dengan ketentuan Ilahi," katanya.

Menurutnya, arwah meninggalkan isteri yang berusia 30-an dan dua anak masing-masing berusia tiga tahun dan setahun

Disiarkan pada: June 26, 2023 @ 10:06am
d