mutakhir

SPRM sudah rakam keterangan King Sing, wanita warga China

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Putrajaya: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan dua wanita warga China yang terbabit kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis lalu, sudah diambil keterangan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, mereka antara 14 individu yang diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah pegawai imigresen.

"Selain menteri, wanita warga China dan rakannya, kita (SPRM) turut merakam keterangan lapan pegawai imigresen serta pengarah syarikat menguruskan NTL (warga asing ditolak kemasukan).

"Sekarang kita sedang mengesan ejen yang dikatakan meminta wang RM18,000 daripada warga asing terbabit," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Pemantapan Rakan Strategik Media SPRM di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti ejen berkenaan yang disyaki warga asing berdasarkan bahasa digunakan dan mengeluarkan waran tangkap bagi menahannya.

"Berdasarkan siasatan awal, ejen itu menguruskan pembelian tiket penerbangan dan mengenakan caj pengurusan.

"Malangnya kita masih gagal mendapatkan ejen itu. Kita sedang kesannya bagi mengetahui apakah bentuk wang dikatakan diminta itu. Dua wanita warga China itu juga sudah pulang ke negara asal sebaik selesai dirakam keterangan.

"Siasatan juga mendapati ejen itu mempunyai kaitan dengan syarikat NTL yang beroperasi di KLIA sejak 2017. Syarikat terbabit dipercayai dilantik oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB)," katanya.

Beliau berkata, pihaknya dijangka memanggil beberapa lagi saksi termasuk MAHB dan pegawai imigresen bagi melengkapkan siasatan itu.

Berita berkaitan:

KPISM kesal dengan tuduhan menteri

Menteri akui terbabit insiden kekecohan, dakwa bongkar rasuah di KLIA

JIM siasat laporan menteri buat 'kecoh' di KLIA

Polis belum terima laporan kekecohan di KLIA

Cuepacs gesa kerajaan, pihak berkuasa siasat kes menteri buat kecoh di KLIA

Pemuda Umno desak Anwar pecat menteri buat 'kecoh' di KLIA

Menteri buat 'kecoh', tuntut bebaskan pelawat China ditahan di KLIA

Disiarkan pada: July 5, 2023 @ 6:12pm
d