mutakhir

Tragedi kepala air: Tumpuan pencarian mangsa di sektor A

Oleh Rosli Ilham

Chukai: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) memberi tumpuan pencarian seorang lagi mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Puteh yang masih hilang di sektor A.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azman Alias berkata, pihaknya akan menumpu di kawasan terbabit berdasarkan penemuan mayat kesembilan.

"Kita percaya seorang lagi mangsa masih berada di sektor A yang terletak berhampiran dengan lokasi kejadian.

"Tumpuan kini dalam jarak kira-kira satu kilometer dari lokasi kenderaan mangsa ditemui hingga ke jambatan Kampung Teladas.

"Berikutan kebanyakan mangsa ditemui di sektor terbabit, pencarian difokuskan sejauh kira-kira 6.3 kilometer," katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Puteh, hari ini.

Azman berkata, bagaimanapun, kawasan sektor B dan C masih dilakukan usaha pencarian sehingga ke Kuala Kemaman.

"Kita juga bersyukur apabila keadaan air di kawasan jeram yang semakin surut dan kembali jernih mampu membantu pasukan menjejak mangsa terakhir.

"Mayat kesembilan yang kita temui terdampar di beting pesir pagi tadi adalah disebabkan air di kawasan itu kembali surut," katanya.

Katanya, operasi hari ini masih diteruskan membabitkan seramai 150 anggota daripada pelbagai agensi seperti polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pasukan Gerakan Am dengan dibantu penduduk kampung.

"Operasi pencarian juga turut mendapatkan bantuan lapan anjing dari unit pengesan K9 polis dan unit K9 bomba," katanya.

Tragedi kepala air itu yang berlaku kira-kira jam 5 petang Sabtu lalu, mengorbankan sembilan mangsa daripada sebuah keluarga yang berasal dari Felda Lepar Hilir, Pahang.

Seorang lagi mangsa iaitu, Muhammad Fikri Saliman, 24, yang juga bakal menantu kepada ahli keluarga itu yang berasal dari Batu Pahat, Johor turut dihanyutkan arus.

Disiarkan pada: July 7, 2023 @ 3:37pm
d