mutakhir

Tragedi kepala air: Ujian DNA sahkan identiti mayat

Oleh Rosli Ilham

Chukai: Mayat yang ditemukan terdampar di lokasi tragedi kepala air di Jeram Air Putih, pagi tadi masih belum disahkan identitinya.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, identiti mayat yang ditemukan jam 9.20 pagi itu masih belum dapat disahkan lagi.

Menurutnya, mayat terbabit dipercayai seorang lelaki berdasarkan pada bentuk badan dan seluar jeans yang dipakai.

"Mayat dihantar ke bilik Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.

"Bagi mengesahkan identiti itu, pihak forensik akan melakukan ujian DNA (asid deoksiribonukleik).

"Selain mengambil darah abang mangsa untuk ujian DNA itu, pihak kami juga akan melakukan ujian cap jari," katanya.

Hanyan berkata, pihaknya percaya akan memperoleh hasil ujian itu dalam tempoh seberapa segera.

Mayat seorang lelaki yang dipercayai Muhammad Fikri Saliman, 24, ditemukan kira-kira dua kilometer daripada lokasi kejadian.

Disiarkan pada: July 7, 2023 @ 5:26pm
d