mutakhir

Jenazah Muhammad Fikri selamat dikebumikan

Oleh Alias Abd Rani

Batu Pahat: Jenazah mangsa kesembilan tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Parit Kuda, di sini, pagi tadi.

Terdahulu, van membawa jenazah Muhammad Fikri Saliman, 24, tiba pada 4.15 pagi di rumahnya di Kampung Parit Kuda, Lubuk Semerah, di sini sebelum dibawa ke Masjid Jamek Seri Pengkalan untuk disembahyangkan.

Puluhan saudara serta penduduk kampung tidak ketinggalan menunaikan solat jenazah dan bersama-sama mengiringi jenazah ke tanah perkuburan untuk disemadikan berdekatan kubur arwah ibunya, Zaiton Rashid pada 7 pagi.

Abang arwah, Shaharizal, 44, melahirkan kesyukuran kerana urusan pengebumian berjalan lancar, meskipun sebelum itu menempuh perjalanan jauh untuk 'pulang'.

"Semua sudah selesai, saya berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu dan berkorban sejak hari pertama hingga selesai dikebumikan.

"Hanya Allah yang dapat membalas budi dan jasa mereka semua. Biarlah arwah tenang di sana kita doakan yang terbaik untuk adik saya," katanya.

Muhammad Fikri ditemui pada 9.20 pagi semalam, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian, selepas tujuh hari hilang.

Disiarkan pada: July 8, 2023 @ 8:37am
d