mutakhir

Situasi penangkapan Sanusi dengan Anwar tidak serupa - Rafizi

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Situasi penahanan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang disamakan oleh segelintir penyokongnya dengan keadaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditahan pada 1998 dianggap satu perkara yang 'melucukan'.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, beliau 'geli hati' melihat beberapa kandungan berhubung penangkapan penyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu di media sosial dengan mengaitkan situasi serupa dihadapi Presiden PKR itu pada 25 tahun lalu.

Katanya, apa yang berlaku terhadap Muhammad Sanusi berbeza dengan Anwar, sedangkan Menteri Besar Kedah berkenaan hanya ditahan untuk pendakwaan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

"Sanusi (ketika ini) jejaka Malaya paling glamor (terkenal) tapi beliau tak masuk lokap (penjara) pun yang beliau hanya ditahan dan didakwa tetapi ada yang nak disamakan (apa yang berlaku terhadap Sanusi) dengan Anwar masa 1998 dulu.

"Kalau ada orang sepak terajang Sanusi itu lainlah. Ini nasib baik beliau kena tahan dan dakwa je tapi kecoh, kononnya orang-orang dalam Kerajaan Perpaduan ni takut dengan Muhammad Sanusi sampai kena tangkap 3 pagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Madani Harapan Dewan Undangan Negeri (Dun) Seberang Jaya, di sini, malam tadi.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, beliau menasihati supaya Muhammad Sanusi berhati-hati dan menjaga percakapan dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang dikhuatiri menyebabkannya ke penjara.

"Masa saya jadi pembangkang dulu, bila nak bawa suara kebenaran nak sampaikan kepada masyarakat kita berdepan dengan pelbagai cubaan. Saya ada 14 kes mahkamah, yang ada dua ke tiga hari dan paling lama lima hari dalam lokap (penjara).

"Masuk lokap empat ke lima hari, bab tidur tak ada masalah, kita gemuk jadi kalau kurang makan tak apa, tapi bab mandi ada masalah yang pesan saya kepada Sanusi kalau tak jaga mulut sekali lagi kena tahan, jangan mandi sebab kalau nak mandi, kena bogel," katanya.

Berita berkaitan

  • Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah atas tuduhan hasutan
  • Sanusi mengaku tidak bersalah atas tuduhan kedua
  • Disiarkan pada: July 19, 2023 @ 8:30am
    d