mutakhir

Pemandu ambulans dan anak, maut kemalangan

Oleh Paya Linda Yahya

Gua Musang: Dua beranak maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan kayu di Kilometer (KM) 37 Jalan Gua Musang-Jeli di sini, semalam.

Dalam kejadian 6.15 petang itu, mangsa, Mohd Zuki Mohamed Ali, 55, yang juga pemandu ambulans meninggal dunia selepas cedera di kepala, badan dan putus tangan kanan.

Anaknya, Muhammad Hasbullah, 15, yang berada di tempat duduk penumpang belakang, juga maut di tempat kejadian.

Selain itu, seorang lagi anak mangsa, Muhamad Huzaifah, 18, yang duduk di bahagian penumpang hadapan cedera di dada dan dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama dua anak lelakinya dalam perjalanan dari arah Gua Musang menuju ke Jeli.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian di mana keadaan jalan yang sedikit berselekoh, Proton Saga FL yang dipandu mangsa masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori yang membawa muatan kayu.

"Akibat pertembungan itu, pemandu kereta dan anaknya yang berada di tempat duduk penumpang belakang maut di tempat kejadian.

"Anaknya yang berada di tempat duduk penumpang hadapan mengalami kecederaan di dada dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, mayat dua beranak itu dibawa ke Unit Forensik HGM untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2023 @ 8:50am
d