mutakhir

Belasungkawa: Salahuddin pelopor Menu Rahmah, disegani rakan, lawan

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Negara malam ini dikejutkan dengan pemergian seorang Menteri Kabinet iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau meninggal dunia kira-kira jam 9.23 malam ini ketika dalam rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) dimasukkan ke HSB pada 10.15 malam Jumaat lalu, selepas mengadu tidak sihat serta muntah-muntah.

Doktor pakar kemudian mengesahkan terdapat pendarahan di bahagian otaknya, menyebabkan beliau perlu menjalani pembedahan segera.

Ahli Parlimen Pulai itu kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB sejak pagi kelmarin, selepas selesai menjalani pembedahan pagi semalam, dan meninggal dunia malam ini.

Sebelum dilantik menerajui portfolio kepenggunaan, Salahuddin pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu bertanding di Parlimen Pulai dan memenangi kerusi berkenaan untuk penggal kedua dengan majoriti 33,174 undi.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022, beliau menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Muar selepas memperoleh 8,749 undi menewaskan tiga pencabarnya dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

Portfolio kepenggunaan adalah tugasan kedua beliau sepanjang penyertaaan dalam Kabinet.

Kali pertama adalah sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu selepas Pakatan Harapan (PH) menang PRU14 pada 2018.

Beliau bagaimanapun terpaksa melepaskan jawatan pada 24 Februari 2020, selepas Kerajaan PH yang dipimpin Dr Mahathir hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen.

Sejak menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau memperkenalkan Menu Rahmah, satu menu popular, yang menampilkan sajian dengan jualan harga mampu milik kepada rakyat.

Jenama Menu Rahmah berharga RM5 diperkenalkan beliau mendapat sambutan luar biasa bukan saja rakyat, malah segmen peniaga kecil dan francais yang tampil menyahut dan menyokong usaha terbabit.

Tidak sekadar menu makanan, jenama 'Rahmah' yang diperkenalkan Salahuddin turut diperluas kepada penjualan produk lain seperti pakaian, kelengkapan sekolah serta barangan pengguna lain.

Dilahirkan pada 1 Disember 1961 di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian, Johor dan berketurunan peranakan Melayu-Cina, Salahuddin mendirikan rumah tangga bersama pasangannya, Datin Seri Fatimah Taha yang dikahwini pada 1985 dan pasangan itu dikurniakan enam orang cahaya mata.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Inggeris Serkat, Pontian (1967-1973), beliau kemudian menyambung persekokahan di Sekolah Menengah Inggeris Teluk Kerang, Pontian (1974-1976) dan di Sekolah Menengah Sri Perhentian, Pontian (1977-1978).

Selepas menamatkan pendidikan di Tingkatan 5, beliau meneruskan pengajian ke peringkat Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Penggawa Barat, Pontian dari 1979 hingga 1980.

Beliau juga mengikuti pendidikan agama di Sekolah Agama Kerajaan Johor dengan lulus Kelas Darjah Khas pada 1977.

Tamat pengajian persekolahannya, beliau seterusnya mengikuti program Diploma Pentadbiran Perniagaan di Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) (1982-1983), kemudiannya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Sains Pembangunan Manusia) di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 1984.

Salahuddin aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pernah dilantik sebagai Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cawangan Pontian 1981 hingga 1983.

Penyertaannya dalam dunia politik secara sepenuh masa bermula pada 1983 selepas dilantik sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pontian (1983-1987) diikuti Ketua Dewan Pemuda PAS Pontian (1987-1989).

Kemudiannya, beliau dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Johor dari 1989 hingga 1999, serta pernah menjawat EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat bermula 1991 hingga 1995, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat (1995-1997) serta Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat (1997-1999).

Pada pemilihan PAS 1999, Salahuddin dipilih sebagai Naib Ketua Dewan Pemuda PAS dan memegang tugas itu sehingga 2001, seterusnya memegang jawatan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (2001-2003) serta Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dari 2003 hingga 2009.

Pada pemilihan 2009, beliau menang bertanding bagi jawatan Naib Presiden PAS Pusat dan menggalas tugas itu sehingga 2015.

Ketika krisis tercetus dalam PAS pada 2015, beliau meninggalkan parti itu dan menubuhkan AMANAH pada 2015, sebelum dilantik sebagai Timbalan Presiden AMANAH.

Negara kehilangan seorang ahli politik yang disegani rakan dan lawan serta lembut dalam tutur kata dan bicara.

Disiarkan pada: July 24, 2023 @ 1:40am
d