mutakhir

'Salahuddin pemimpin yang senang didekati'

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub adalah suatu kehilangan besar bagi rakyat, teman-teman dan negara.

Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, Allahyarham adalah seorang tokoh politik, dan 'abang' kepada 'adik-adik muda' dalam politik.

Katanya, Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Jeram itu juga disifatkan sebagai seorang yang sangat tenang, berdiplomasi, dan senang didekati sepanjang beliau menjadi pemimpin politik.

"Majlis Pimpinan serta seluruh anggota PKR Selangor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Datuk Seri Salahuddin Ayub dan ahli-ahli Parti Amanah Negara (Amanah) atas pemergian Allahyarham, malam tadi.

"Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan tempatkan bersama syuhada dan orang soleh," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Salahuddin meninggal dunia jam 9.23 malam tadi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.

Jenazah Salahuddin dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong Serkat, Tanjung Piai, Johor, tengah hari ini.

Disiarkan pada: July 24, 2023 @ 10:25am
d