mutakhir

Allahyarham Salahuddin 'low profile', mudah didekati

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru : Pemergian Menteri Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub bukan sahaja kehilangan kepada kerajaan dan rakan politik, malah turut dirasai rakyat khususnya di kawasan Parlimen Pulai.

Allahyarham yang juga Ahli Parlimen Pulai selama dua penggal disifatkan masyarakat sebagai seorang yang pemimpin dan wakil rakyat yang berjiwa rakyat, telus serta amanah.

Peniaga, Mohd Jefri Yacob, 57 yang juga penduduk kawasan Parlimen Pulai mengakui sedih dengan kehilangan pemimpin yang mengamalkan sikap telus dan amanah dalam setiap kerja yang dilaksanakannya.

Katanya selain sikap Allahyarham yang 'low profile' terhadap rakyat dan mudah didekati, beliau juga sering turun padang meninjau masalah rakyat di kawasan itu.

"Sedih kehilangan pemimpin yang mempunyai sifat telus, amanah dan jujur sepertinya. Tetapi kita reda, ini ketentuan Allah, beliau (Salahuddin) juga pergi ketika dalam tugasannya sebagai menteri.

"Beliau seorang yang baik budi pekerti, dan saya harap ramai pemimpin muda menjadikan beliau sebagai contoh. Rakyat ini mahu melihat pemimpin yang ikhlas, jauhi rasuah dan amanah kepada kepimpinan. Itu sifat yang ada pada arwah wakil rakyat kami.

"Saya sedih sebab perjuangan dia (arwah) betul, susah hendak dapat kepimpinan sepertinya. Semoga Allahyarham pulang dengan kasih sayang Allah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara pekerja swasta, Basri Mohamad, 49 berkata apabila pulang ke kawasan, Salahuddin akan solat secara berjemaah dengan beberapa kariah masjid dan surau.

Katanya, kebiasaannya beliau akan pergi ke masjid dan surau untuk solat Subuh, Maghrib dan Isyak.

"Beliau orang yang baik, peramah, memahami masyarakat. Pemergiannya memang terasa, Allah maha mengetahui mudah-mudahan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

"Beliau pernah datang ke Masjid Permai Lama, apabila kita minta beliau menjadi imam, beliau boleh mengimamkan kami, dari segi agama saya kagum dengan beliau," katanya.

Sementara itu, peniaga, Muhammad Ikhwan Othman, 32 berkata Allahyarham juga rajin datang ke gerai, warung dan medan selera untuk makan dan beramah mesra dengan penduduk.

Katanya beliau seorang pemimpin yang mudah didekati tanpa sebarang protokol.

"Allahyarham rajin datang ke sini, melawat peniaga... kehilangan beliau memang amat dirasai.

"Orangnya sangat terbuka, kami rakyat boleh minum, duduk semeja dengan beliau. Malah program Payung Rahmah yang dicetuskannya banyak membantu rakyat," katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2023 @ 1:13pm
d