mutakhir

PRN 2023: 'Saya datang bagi sokongan kepada sahabat lama" - Fauzi Nawawi

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Pasir Mas: Pelakon, Mohd Fauzi Mohd Nawawi yang hadir di pusat penamaan calon di Kolej Vokasional Pasir Mas, di sini, menarik perhatian penyokong parti.

Mohd Fauzi yang tiba dengan lengkap berbaju Melayu putih dilihat mengiringi calon Bebas Dewan Undangan Negeri (Dun) Tendong, Datuk Seri Suzainal Adnan Sukri.

Ditanya berhubung kehadirannya itu, Mohd Fauzi berkata, beliau hadir hari ini bagi memberi sokongan kepada Suzainal yang bertanding sebagai calon Bebas.

"Saya tiba di Kelantan malam tadi dan hadir pagi ini hanya kerana memberi sokongan kepada sahabat lama.

"Saya tidak bermain politik, saya hadir memberi sokongan dan kekuatan kepada Suzainal yang saya kenal sejak sekian lama dan mendoakan kemenangan untuknya.

"Selepas ini saya akan pulang ke Kuala Lumpur semula dan tidak terbabit dengan proses berkempen," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau turut mengakui kehadirannya di pusat penamaan calon mendapat pelbagai reaksi penyokong parti yang hadir di sini.

"Mungkin mereka berasa pelik tiba-tiba saya berada di sini, namun saya jelaskan sekadar menemani kawan," katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2023 @ 9:40am
d