mutakhir

Anwar, penyokong PN berbalas sorakan lagu 'Hoi Hoi Ya Hoi'

Oleh Fahmy A Rosli

Selayang: Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan kira-kira 10 minit melawat Pusat Penamaan Calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, Rawang, Taman Templer.

Perdana Menteri tiba kira-kira jam 9.35 pagi di perkarangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan sempat beramah mesra dengan penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Beliau juga sempat mendengar taklimat ringkas daripada Ketua Pegawai Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya untuk tiga DUN di bawah Parlimen Selayang, Ahmad Faisal Badiuzaman mengenai perjalanan operasi pusat berkenaan pada hari ini.

Selain itu, beliau juga berpuas hati dengan suasana dan sokongan yang ditunjukkan penyokong PH dan BN yang hadir menyokong calon gabungan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Mood baik," sambil menunjukkan isyarat bagus kepada media hari ini.

Pengerusi PH itu turut ditemani Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Ketika hendak menuju ke keretanya untuk ke lokasi penamaan calon lain, penyokong Perikatan Nasional (PN) sempat bersorak dan menyanyikan lagu 'Hoi Hoi Ya Hoi' (lirik lagu Aduh Malaysia oleh Altimet).

Kelihatan Anwar turut bersorak 'Hoi Hoi Ya Hoi' kepada penyokong PN sambil menuju masuk ke keretanya.

Disiarkan pada: July 29, 2023 @ 10:48am
d