mutakhir

PRN: Polis guna dron pantau lokasi penamaan calon

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengatur gerak memantau lokasi penamaan calon pada enam pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pasukan Op Cantas juga digerakkan di lokasi-lokasi panas bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon.

"Saya sendiri berada di pusat gerakan di Bukit Aman bagi memantau perjalanan proses penamaan calon pagi ini.

"Pemantauan daripada dron dan pasukan Op Cantas mempunyai hubungan dengan pusat gerakan ini,"katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, fokus utama unit tersebut adalah untuk melakukan intipan dan risikan operasi selain dron ini mampu beroperasi pada waktu malam serta boleh mengesan suhu badan manusia.

Proses penamaan calon bagi PRN berlangsung serentak di enam negeri hari ini.

Sebanyak 173 pusat penamaan calon dibuka di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Selain 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan di enam negeri itu, turut diadakan ialah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu setelah kerusi berkenaan diisytihar kosong berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Disiarkan pada: July 29, 2023 @ 11:27am
d