mutakhir

PRN: Azmin Ali lawan Juwairiya di DUN Hulu Kelang

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Gombak: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor Dewan Undangan Negeri (Dun) Hulu Kelang (N18) menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara wakil dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pakatan Harapan (PH), Juwairiya Zulkifli.

Juwairiya adalah penyandang kerusi Dun Bukit Melawati manakala Azmin adalah bekas Adun Bukit Antarabangsa. 

Senarai calon Dun Hulu Kelang diumumkan oleh Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Khairul Aizawati Khalid pada 10.57 pagi selepas semua calon bertanding lengkap menyerahkan borang pencalonan masing-masing di pusat penamaan calon Dewan Mutiara Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak.

Mohamed Azmin menjadi calon terawal yang tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Mutiara Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak pada 9.03 pagi diikuti calon Juwairiya pada 9.15 pagi.

Pengumumkan proses penyerahan borang penamaan calon bermula pada 9 pagi dan tamat pada 10 pagi.

Sementara itu, suasana di luar pusat penamaan calon juga terkawal yang mana penyokong dilihat berada di tempat disediakan masing-masing.

Mohamed Azmin pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu bertanding di Dun Bukit Antarabangsa dan menang kerusi itu atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kerusi Dun Hulu Kelang sebelum ini ditandingi Amanah yang bertukar kerusi Dun Batu Tiga dengan PKR.

Pada PRU-14, Dun Hulu Kelang dimenangi Saari Sungib dari Amanah mewakili PH.

Saari memperoleh majoriti 15,349 undi selepas meraih 25, 746 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Ahmad (10,397) undi dan calon Pas, Farhan Kamalul Hysham (7,573) undi.

Disiarkan pada: July 29, 2023 @ 11:52am
d