mutakhir

Pahang pengeluar ikan tertinggi di Pantai Timur

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Jabatan Perikanan menjangkakan permintaan ikan air tawar akan terus meningkat sehingga 53 kilogram (kg) perkapita setahun menjelang 2030 berbanding 43 kg setahun kini.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata pelbagai usaha sudah dan akan dilakukan Jabatan Perikanan Negeri dalam usaha menarik minat lebih ramai rakyat negara ini menjadikan ikan air tawar sebagai hidangan utama.

Katanya, bagi menampung permintaan terhadap pelbagai spesies ikan air tawar termasuk udang, usaha menambah lebih ramai lagi individu terbabit dalam bidang akuakultur terus dilakukan terutama di peringkat negeri.

"Kita juga menggalakkan pihak berkenaan terbabit mengusahakan projek pembiakbakaan induk, pengeluaran benih dan asuhan benih. Dengan cara itu industri akuakultur akan dapat terus berkembang," katanya pada Program Jelajah Perikanan "Rasa-rasa Akuakultur" Pahang 2023 anjuran Jabatan Perikanan Pahang di perkarangan bangunan Mara Pahang di sini, hari ini.

Katanya, industri akuakultur di Pahang sentiasa berkembang, kini terdapat kira-kira 1,496 hektar kawasan zon industri akuakultur (ZIA) disediakan kerajaan negeri, namun kini hanya 788 hektar saja digunakan, justeru rizab ZIA masih luas untuk dimajukan.

"Pengeluaran ikan di Pahang tahun lalu sebanyak 129,520 tan bernilai RM1.145 bilion. Ia membabitkan 107,982 tan ikan laut (RM794.4 juta), sebanyak 19,969 tan daripada akuakultur (RM314.3 juta). Sebanyak

1,569 tan perikanan darat (RM36.8 juta).

"Pahang kini muncul pengeluar ikan tertinggi di Pantai Timur dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 7,000 individu yang terbabit sebagai nelayan, penternak ikan dan usahawan produk berasaskan ikan," katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2023 @ 3:34pm
d