mutakhir

3 penjuru di PRK Pulai

Oleh Mohamed Farid Noh dan Omar Ahmad

Johor Bahru: Kerusi Parlimen Pulai menyaksikan saingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan yang akan berlangsung 9 September nanti.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Suhaizan Kayat, disahkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi parlimen berkenaan.

Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor dan Ketua Amanah Bahagian Pulai akan ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar.

Zulkifli adalah Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pulai yang juga usahawan kelahiran Tampoi.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) Samsudin Mohamad Fauzi pula diumumkan bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Pulai.

Samsudin akan menggunakan simbol kunci.

Pengumuman berkenaan dilakukan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya bagi PRK P161 Parlimen Pulai, Miswan Yunus.

Terdahulu, Miswan mengumumkan SPR menerima kertas pencalonan daripada tiga calon berkenaan dengan tiada pencalonan yang ditolak.

Disiarkan pada: August 26, 2023 @ 10:30am
d