mutakhir

Peta Standard China Edisi 2023 adalah tuntutan maritim sepihak

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China seperti yang digariskan dalam 'Peta Standard China Edisi 2023' yang meliputi kawasan maritim negara di Laut China Selatan.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini berkata, peta dikeluarkan Kementerian Sumber Asli Republik Rakyat China pada 28 Ogos, menunjukkan tuntutan maritim sepihak (unilateral act) China yang melangkau kawasan maritim Malaysia di Sabah dan Sarawak berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

"Kerajaan Malaysia konsisten menolak tuntutan dan hak kedaulatan serta bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara kita berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

"Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan seperti dalam 'Peta Standard China Edisi 2023'. Peta itu sama sekali tidak mengikat Malaysia," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia berpandangan bahawa isu Laut China Selatan adalah isu kompleks dan sensitif.

Katanya, isu itu perlu dikendalikan secara aman dan rasional melalui dialog dan rundingan berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982).

Malaysia komited untuk terus bekerjasama bagi memastikan semua pihak melaksanakan Deklarasi Tatalaku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea) secara menyeluruh dan efektif.

Kerajaan juga komited terhadap proses rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (Code of Conduct in the South China Sea) yang efektif dan substantif, serta terhadap sasaran untuk memuktamadkannya seawal mungkin.

Disiarkan pada: August 30, 2023 @ 6:08pm
d