mutakhir

Kertas siasatan pengikut Ahmadi dirujuk ke Pejabat Peguam Negara

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kertas siasatan berhubung perhimpunan mempunyai unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di hadapan pusat beli belah Sogo, di sini, pada 29 Julai lalu sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, lapan suspek berusia antara 18 hingga 56 tahun terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman sehari tamat pada 30 Julai lalu.

"Semua suspek berkenaan sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman terhadap mereka tamat.

"Kertas siasatan kes berkenaan juga sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program KL Cops Urbanathon 2023 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lapan lelaki ditahan disyaki menyertai perhimpunan mempunyai unsur LGBT di hadapan pusat beli belah Sogo, di sini, pada 29 Julai lalu.

Mohd Shuhaily dilapor berkata, semua suspek terbabit ditahan pada hari sama.

"Suspek yang menyertai perhimpunan itu menyatakan di Malaysia ini hak-hak LGBT disekat dan mereka melaungkan 'down syariah court' sambil memegang kain rentang.

"Hasil siasatan mendapati mereka ini adalah ahli The Ahmadi Religion of Peace and Light dan kebanyakan yang ditahan sudah menyertai kumpulan itu hampir dua tahun," katanya.

Menurutnya, salah seorang suspek baru sahaja ditahan kerana mengedarkan risalah berkaitan kepercayaan mereka di sebuah masjid di sekitar Putrajaya beberapa minggu lalu.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan terbabit.

Kejadian itu mendapat perhatian ramai selepas satu video berdurasi 48 saat memaparkan beberapa lelaki memegang plakad menyokong LGBT dimuat naik seorang pengguna Tik Tok pada minggu lalu.

Disiarkan pada: August 5, 2023 @ 11:41am
d